Ketahui Proses-Proses Penjualan Rumah Yang Masih Dalam Pinjaman.

Saya akan cuba terangkan tentang penjualan rumah subsale (rumah second hand) sahaja.

Manakala berkenaan penjualan rumah yang sedang dibina, saya akan kupas pada post lain.

Ada dua keadaaan:

  1. Rumah tersebut masih ada cagaran (loan) dengan bank atau kerajaan.
  2. Rumah tersebut tiada loan.

Majoriti pelanggan saya yang menjual rumah mereka, masih ada baki loan perumahan.

Sama ada loan bank ataupun loan kerajaan (LPPSA atau BPP).

Di sini saya tidak akan bincangkan berkenaan kos. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui tentang kos-kos penjualan rumah, boleh rujuk pada post saya sebelum ini.

Apabila perjanjian jual beli ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak, peguam akan menghantar permohonan penyata baki hutang kepada bank penjual @ LPPSA.

Selepas mendapat penyata tersebut, pihak pembeli akan membuat bayaran kali pertama.

Bayaran kali pertama ini adalah untuk menyelesaikan baki hutang penjual. Sama ada dibayar oleh bank pembeli, atau kerajaan (LPPSA) bergantung kepada jenis pinjaman yang dibuat.

Proses ini dinamakan sebagai ‘tebus gadai’.

Sekiranya rumah yang dijual itu memang tiada loan, proses tebus gadai tidak perlu dilakukan. Terus kepada proses pindahmilik.

Setelah selesai baki hutang, bank penjual @ LPPSA akan lepaskan segala dokumen (geran tanah dan lain-lain) kepada peguam.

Apabila semua dokumen diterima oleh peguam, peguam akan laksanakan tiga proses berikut:

  1. Pelepasan gadaian (borang 16N)
  2. Pindahmilik (borang 14A)
  3. Gadaian (borang 16A)

Kita boleh namakan semua proses di atas sebagai ‘pendaftaran’.

Haa masa ini lah peguam biasanya akan kenakan caj kepada pembeli. Sekurang-kurang separuh dari keseluruhan bil.

Manakala penjual pula akan dikenakan caj untuk tebus gadai (pelepasan gadaian).

Seterusnya dokumen hakmilik (geran) yang sudah siap dipindahmilik dan digadai akan dihantar kepada bank pembeli atau LPPSA.

Proses ini dinamakan ‘simpan geran’.

Apabila dokumen sampai ke pihak bank atau LPPSA, barulah mereka akan keluarkan pembayaran kedua.

Pada peringkat inilah, tuan rumah baru betul-betul boleh merasa duit hasil daripada jualan rumahnya.

Sebelum ni mungkin hanya merasa duit deposit sahaja. Mungkin 1-2 ribu. Atau paling maksimum pun 10% tolak kos agent 3%. Huhu.

Soalan yang kerap kali ditanya. Biasanya berapa lama untuk siap kesemua proses ini?

Sebenarnya jawapan kepada soalan ini agak subjektif, kerana proses-proses tersebut banyak melibatkan pejabat-pejabat kerajaan dan perjalanan dokumen ke banyak tempat.

Mengikut pengalaman saya, kalau rumah tersebut di kawasan jajahan Kota Bharu, dan masih ada loan dengan kerajaan (LPPSA atau BPP), manakala pembeli pula menggunakan loan kerajaan juga, tempoh anggaran adalah selama 8 bulan.

Kalau urusan dengan bank, kebiasaannya cepat sedikit. Anggaran 6 bulan.

Ya, memang agak lama. Sebab itu lah hartanah dikategorikan sebagai aset lambat cari (low liquidity).

Jadi nasihat saya, contohnya kalau penjual berhajat kepada sejumlah duit pada hujung tahun, maksudnya awal tahun sudah kena pastikan rumahnya sudah ada pembeli.

Maksudnya harga yang diletakkan perlu munasabah dan bukan melebihi harga pasaran.

Elakkan cuba ‘test market’ dengan letak harga tinggi dulu, lepas tu kurangkan sedikit demi sedikit.

Kebiasaannya ‘test market’ ni hanya untuk penjual yang tidak terdesak dan tidak serius.

Dan sudah tentu ejen pun tidak begitu berminat untuk menolong penjual yang tidak serius.

Oleh itu rancanglah penjualan rumah anda dengan baik.

Sekiranya anda memerlukan khidmat daripada ejen untuk menjual rumah anda di Kelantan & Terengganu, boleh hubungi saya. InsyaAllah saya akan bantu anda.

17 Replies to “Ketahui Proses-Proses Penjualan Rumah Yang Masih Dalam Pinjaman.”

      1. Bayaran ansuran bulanan dah stop,pembeli sudah buat potongan melalui gaji.Berapa lama proses untuk penjual dpt semula wang.

        1. Bergantung juga kpd berapa lama proses pindah milik. Adakah perlu mendapat consent daripada pbn atau tidak. Normal boleh mencecah 3 bulan jika tidak perlu consent.

    1. Mengikut pengalaman saya, memakan masa lebih kurang 2 bulan juga. Tapi sekiranya tuan ingin tahu tempoh yang mengikut, SOP LPPSA, tuan kena call LPPSA sendiri bertanya.

    1. Terima kasih krn bertanya. Tempoh ini adalah subjektif, bergantung kepada bank dan juga negeri mana hartanah tersebut. Kebiasaan mengikut pengalaman saya, bank pembeli membayar kepada bank penjual dalam tempoh 3 bulan. Jika tiada apa-apa masalah.

  1. salam tuan,sekira nya rumah telah di jual & sudah tukar nama ke pemilik baru berapa lama proses untuk penjual dapat semula payment dari pihak bank?

    1. Waalaikumussalam. Bergantung pada bank atau institusi mana yg pembeli dapatkan pembiayaan. Seeloknya tanya peguam yang menguruskan. Pegalaman saya di Kota Bharu, biasa dalam tempoh satu bulan dah dapat, dengan syarat tiada apa2 masalah lain.

  2. Assalam tempoh pendaftaran selalunya ambil masa lama ker.?
    Pelepasan gadaian (borang 16N)
    Pindahmilik (borang 14A)
    Gadaian (borang 16A)
    adakah secara manual atau Online pendaftaran ini

    1. Waalaikumussalam. Tempoh bergantung pada daerah dan negeri masing2. Pengalaman saya di Kelantan, ambil masa dalam 2 bulan juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *