Ketahui Kos-kos yang Perlu Ditanggung oleh Penjual untuk Menjual Rumah.

kos jual rumah

Jual rumah pun ada kos yang perlu dikeluarkan?

Ya bossku, jangan terkejut.

Sekiranya anda jual rumah anda dengan harga RM 100k, jangan berangan anda akan dapat bersih RM 100k. Di bawah saya senaraikan secara ringkas apakah kos-kos tersebut.

  1. Kos ejen.Anda mesti datang ke blog ini untuk mencari ejen kan? Jadi semestinya kos ejen adalah kos paling utama yang wajib untuk dikeluarkan. Biasanya ejen akan caj 3% daripada harga jualan. Ada juga ejen yang menetapkan caj minimum bagi harga di bawah paras tertentu, seperti syarikat saya sendiri.Bilakah perlu membayar kepada ejen?

    Biasa ejen akan caj ‘fee’ tersebut daripada ‘booking’ @ ‘earnest deposit’ pembeli. Sekiranya booking tersebut tidak mencukupi sebanyak 3%, biasanya ejen akan caj apabila pembayaran dikeluarkan daripada bank pembeli kepada peguam.

  2. Kos pelepasan gadaian.Adakah rumah yang nak dijual tersebut masih dalam gadaian bank / LPPSA? Sekiranya ya, maka penjual perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membayar kos pelepasan gadaian kepada peguam dan pejabat tanah. Amaun bergantung kepada pejabat tanah negeri masing-masing. Jika di Kelantan, kos pelepasan gadaian yang terkini adalah sekitar RM 1,000 – RM 3,000.
  3. CKHT / RPGT. Cukai Keuntungan Harta Tanah.

    Sekiranya pemilikan rumah belum mencukupi 5 tahun, anda perlu bayar CKHT jika ada keuntungan. Rujuk di sini untuk jadual kadar cukai.

    Bagaimana dengan rumah yang sudah melebihi 5 tahun?

    Jawabnya YA.

    Anda tetap perlu membayar cukai tersebut. Bermula tahun 2019, kerajaan telah menetapkan bahawa CKHT akan dikenakan pada setiap penjualan hartanah, walaupun sudah melebihi 5 tahun. Cajnya adalah 5% daripada keuntungan.

  4. Segala tunggakan bil dan cukai. Anda perlu serahkan rumah dalam keadaan ‘clean & clear’ daripada sebarang ‘outstanding bills’. Antaranya adalah bil elektrik, bil air, cukai pintu, cukai tanah, dan ‘maintenance fee & service charge’ bagi apartment dan kondominium.

Contoh: 

Sekiranya Encik Ahmad ingin menjual rumah beliau di Kota Bharu dengan harga RM 100,000. Beliau pun melantik saya sebagai ejen beliau. Rumah tersebut masih dalam gadaian BPP (Bahagian Pinjaman Perumahan) dengan baki pinjaman sebanyak RM 10,000. Katakan rumah ini sudah melebihi 5 tahun pemilikan, dengan harga beli dulu sebanyak RM 50,000.

  • Harga rumah: 100,000
  • Kos ejen: 6,000
  • Kos pelepasan gadaian: 3,000
  • Tunggakan bil & cukai: 1,000
  • Baki pinjaman: 10,000
  • CKHT: 2,500 (saya ambil kira keuntungan adalah sebanyak RM 50k, untuk memudahkan pengiraan)

Jadi hasil bersih daripada harga jualan yang En Ahmad akan dapat:

100,000 – 6,000 – 3,000 – 1,000 – 10,000 – 2,500 = RM 77,500 sahaja. 

Kesimpulannya, adalah dinasihatkan untuk buat kiraan terlebih dahulu sebelum menjual rumah. Kalau anda rasa tidak mahu pening kepala, hubungi ejen anda dan pastikan beliau boleh kirakan untuk anda.

Saya Kembali!

Sudah lama tidak menulis di blog. Kali terakhir saya cek penulisan saya adalah pada tahun 2017. Aduh! Lama betul tidak berkongsi. Maafkan saya.

Saya tak sempat berkongsi seperti dahulu adalah kerana faktor kekangan masa. Tahun 2017 saya mula menubuhkan syarikat agensi hartanah sendiri di Kelantan. Saya bersama team bertungkus lumus untuk memantapkan syarikat kami. Tahun 2018 pula merupakan tahun yang sangat sibuk, ditambah dengan cabaran-cabaran baru dalam industri hartanah.

InsyaAllah tahun 2019 ini, saya akan kembali menulis dengan lebih kerap. Perkongsian saya adalah lebih kepada pengalaman-pengalaman saya sendiri. Tujuan saya adalah untuk memberi pendedahan kepada pembaca-pembaca tentang informasi-informasi hartanah dan ilmu-ilmu praktikal yang bermanfaat kepada semua.

Doakan saya, insyaAllah.

Oh ya, bagi yang tertanya-tanya apakah nama syarikat saya dan lokasi pejabat kami, anda boleh lah ‘google’ SND PROPERTIES PLT, dan syarikat kami beroperasi di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Terima kasih.