Sekiranya anda berkenan untuk membeli sekeping tanah di mana-mana lokasi, antara perkara penting yang perlu dibuat sebelum membuat bayaran penuh adalah melantik juru ukur.
Fungsi juru ukur adalah untuk menanda sempadan tanah yang dibeli, dan juga untuk memastikan lokasi tanah tersebut adalah betul seperti yang diberitahu oleh penjual.
Saya ingin kongsi pengalaman saya sendiri ketika menjual satu tanah lot di Bandar Baru Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.
Sebelum tanah tersebut dijual, saya telah meminta penjual untuk menunjukkan lokasi terlebih dahulu. Apa yang difahami adalah tanah tersebut terletak di tepi lorong bertar. Keluasan tanah adalah 9300+ kaki persegi.
Apabila ada pembeli yang berkenan untuk pembeli, beliau mendesak penjual untuk melantik juru ukur bagi menanda batu sempadan. Alhamdulillah penjual ni jenis yang ‘mudoh baso, sene kiro’. Penjual sanggup menanggung kos untuk ukur tanah tersebut.
Selepas selesai kerja-kerja menanda batu sempadan, rupa-rupanya separuh lorong bertar telah memasuki kawasan tanah. Jadi jumlah kawasan tanah yang dibeli oleh pembeli ini lebih kecil keluasannya, sekiranya dibandingkan dengan yang terdapat dalam geran. Jumlah kawasan yang ditutup jalan bertar lebih kurang 400 kaki persegi.
Boleh sahaja pembeli nak ‘claim’ semula tanah yang sudah bertar tersebut, dan buat tak tahu sahaja, bina sahaja pagar atasnya. Tapi memandangkan tanah tersebut sudah menjadi laluan awam, lebih-lebih lagi sudah menjadi laluan ke kubur! Alangkah tak manis dipandang oleh orang kampung, ibarat ‘merampas’ laluan awam.
Setelah perbincangan balik diadakan, penjual bersetuju menurunkan harga dengan menolak keluasan yang ditutupi oleh jalan tar. Diskaun diberi sebanyak Rm 5,000. Alhamdulillah pembeli pun berpuas hati.
Nasihat saya, sekiranya anda berniat nak beli tanah, pastikan lantik juru ukur. Sekiranya penjual enggan menanggung kos juru ukur, apa salahnya anda sendiri sebagai pembeli menanggungnya. Apalah sangat kena bayar rm 300-400 untuk tanda sempadan, jika dibandingkan risiko kerugian beribu-ribu ringgit sebab tersilap beli tanah. Â Bayangkan macam kes di atas, anda mungkin boleh jimat Rm 5,000..dengan hanya membelanjakan Rm 400.
Semoga kisah ni memberi manfaat kepada pembaca-pembaca semua.