Tanah Kelantan untuk Orang Kelantan

Ramai orang bertanya tentang isu ini. Adakah hanya orang Kelantan yang boleh memiliki hartanah di Kelantan? Secara umum, jawapannya adalah ‘Ya’. Ini kerana berpandukan Enakmen Tanah Kelantan tahun 1938 yang menyatakan bahawa ‘anak Kelantan (native of Kelantan) sahaja yang boleh memilik tanah di Kelantan.

Definisi anak Kelantan terbahagi kepada 5:
a) sesiapa yang lahir di Kelantan yang bapanya adalah Melayu
b) sesiapa yang lahir di Kelantan yang ibunya adalah Melayu dan bapa adalah Muslim
c) sesiapa yang lahir di mana-mana sahaja yang bapanya adalah Melayu yang lahir di Kelantan.
d) sesiapa yang lahir di mana-mana sahaja yang ibubapanya adalah Melayu dan telah menetap sekurang-kurangnya 15 tahun di Kelantan.
e) sesiapa yang lahir di Kelantan yang bapanya juga lahir di Kelantan.

Jadi sekiranya anda bukan orang Kelantan, tapi bapa anda orang Melayu Kelantan, ataupun orang Melayu dan sudah menetap di Kelantan melebihi 15 tahun, ada harapan untuk anda memiliki tanah di Kelantan.

Namun sekatan ini bukannya perkara yang mutlak. Anda masih boleh memohon daripada pihak berkuasa negeri untuk memilik tanah di Kelantan, cuma prosesnya mengambil masa yang lama dan tiada jaminan bahawa mendapat kelulusan sekiranya tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Masalah yang berlaku tentang pemilikan tanah di Kelantan adalah jikalau anda orang luar Kelantan ingin membeli rumah di Kelantan dengan menggunakan pinjaman daripada bank mahupun kerajaan, anda perlu menggadaikan tanah tersebut kepada institusi tersebut terlebih dahulu. Untuk membolehkan proses gadaian berlaku, perlulah dilakukan pindahmilik dahulu. Proses pindahmilik tidak boleh berlaku sekiranya anda bukan orang Kelantan.

Tetapi ada penyelasaiannya sekiranya anda berkahwin dengan orang Kelantan. Ketika ingin membeli rumah, pindahmilik kepada isteri / suami anda yang mana orang Kelantan, kemudian digadaikan kepada bank atas nama bersama. Risikonya adalah nama pasangan anda seorang sahaja yang tercatat dalam geran, walaupun anda berdua saling berkongsi bayar untuk rumah tersebut =)